Tuesday 29 November 2011

Korban Pertama Krisis Ekonomi Eropah


Krisis ekonomi yang melanda Greece nampaknya tidak pernah berakhir. Bahkan telah memberi kesan terhadap  negara-negara di zon Euro. Kini, Kesatuan Eropah sedang mencari jalan untuk mengatasi masalah tersebut.

Bantuan pakej penyelamatan ekonomi yang disediakan oleh Tabung Kewangan  Antarabangsa (IMF) bagi Greece hingga kini belum berjaya memulihkan ekonomi negara yang pernah melahirkan para ahli falsafah besar dunia itu.

Pada 26 Oktober lalu, zon euro kembali mengguna pakai pakej penyelamatan ekonomi gelombang kedua bagi Greece. Berdasarkan kesepakatan ketua negara zon euro, syarat pemberian bantuan bernilai 128 bilion euro itu adalah penerapan polisi bagi memulihkan ekonomi oleh kerajaan Greece.

Kesannya, kerajaan Greece harus mengurangkan gaji dan pegawai di sektor perkhidmatan. Di dalam negeri Greece sendiri, kemerosotan ekonomi negara itu mencetuskan gelombang desakan untuk George Papandreou meletakan jawatan selaku Perdana Menteri Greece.  

Dilaporkan Perdana Menteri Greece George Papandreou baru-baru ini bersetuju mengundurkan dirinya dan bersedia membentuk kerajaan campuran dengan pemimpin pembangkang Antonis Samaras.

Perjanjian itu muncul setelah Presiden Greece Karolos Papoulias mengadakan rundingan krisis dengan para pemimpin dari dua parti terbesar Greece, Papandreou dari Gerakan Sosialis Panhellenik (PASOK) dan Samaras dari parti Demokrasi Baru.

Di kala keadaan politik dan ekonomi Greece yang makin kelam kabut, cadangan referendum mengenai pakej penyelamat ekonomi zon euro yang dicadangkan Papandreou telah memburukkan lagi keadaan ekonomi greece dan memberi tempias terhadap ekonomi  Eropah dan Amerika Syarikat sendiri. 

Nampaknya pesimisme pemulihan keadaan ekonomi Greece dan negara anggota zon euro lain semakin memburuk. Canselor Jerman meramalkan kemungkinan berlakunya krisis euro hingga 10 tahun akan datang.

Mesyuarat tahunan para pemimpin G-20 negara industri dunia yang diadakan di bandar Cannes,Perancis menegaskan sokongan terhadap penyelesaian hutang negara negara anggota Kesatuan Eropah dengan memanfaatkan bantuan kewangan yang dihulurkan oleh pihak IMF.

Sementara itu, penduduk Greece sendiri menolak tekanan Zon Euro terhadap ekonomi negara. Polisi penjimatan ekonomi ini hanya akan mencetuskan protes berterusan di negara itu.

Nampaknya, jika tidak dilakukan penyelamatan ekonomi yang sistemik, Greece tidak lama lagi akan menjadi mangsa pertama babak baru krisis ekonomi di kawasan Eropah. 

Bantuan pakej penyelamatan ekonomi yang dilakukan Kesatuan Eropah tidak meberi apa-apa makna untuk memulihkan ekonomi Greece yang kini sedang terhuyung-hayang dihimpit krisis yang semakin merumitkan.

Kini keadaan krisis ekonomi di eropah telah merebak ke Itali dan Sepanyol. Pihak IMF  sedang menyediakan Pekej Penyelamatan Ekonomi bagi menyelamatkan keadaan ekonomi di negara tersebut atau  ia mungkin akan menjadi mangsa kedua dan ketiga babak baru krisis ekonomi di eropah.

No comments:

Post a Comment